Jumlah Pengunjung

Sunday 3 March 2013

Penceroboh Tiada Tanda-Tanda Mahu Mengalah !!! Lahad Datu...




Hikmah Lahad Datu Malaysia sedang menghadapi ancaman penceroboh kerabat Kesultanan Sulu daripada Filipina sejak 14 Feb 2013 yang lalu. Sehingga kini penceroboh masih belum menunjukkan tanda-tanda mengalah setelah tawaran serah diri dibuat oleh pihak polis.

Terbaru Semporna, Sabah dikejutkan pula dengan berita serangan hendap ke atas pasukan PDRM yang mengorbankan lima anggota polis.

Pelbagai spekulasi dan aneka ragam berita yang disampaikan oleh media di Malaysiamenyukarkan lagi rakyat di negara ini mendapatkan kesahihan tentang episod pencerobohan di Sabah.

Ada dakwaan mengatakan ianya bermotifkan politik, ada juga mendakwa ianya dikaitkan tuntutan keturunan Sultan Sulu ke atas Sabah. Semuanya masih lagi belum dirungkai sepenuhnya. Hanya berita terkini tentang kematian, kecederaan di pihak polis dan penceroboh sahaja yang rasanya benar-benar sahih.

Kejadian di Lahad Datu dan Semporna nyata memberi kesan berbeza ke atas rakyat di negara ini. Isu keselamatan sempadan perairan negara mula dipersoal, integriti pasukan keselamatan negara juga mula dipersoal. Rakyat Malaysia mula menjadikan isu pencerobohan ini sebagai satu isu penting berbandingPRU-13 yang bakal tiba.

Apakah negara Malaysia kini sudah tidak selamat? Pelbagai tohmahan kepada PDRM serta mempersoal tindakan yang diambil kerajaan berlegar sana sini. Rakyat yang bijaksana juga menyampaikan pandangan sendiri sehingga melampaui kemampuan akal berfikir tentang ilmu peperangan dan strategi keselamatan negara. 

Rakyat memang mudah berbicara tentangnya dan menyatakan pandangan tetapi hal-hal sulit keselamatan negara, siapa punca dan tujuannya hanya orang tertentu sahaja yang tahu. Usahlah menuding jari itu dan ini kerana ianya melibatkan nyawa pasukan keselamatan negara yang dipertaruhkan.

Menjadi jeneral yang hanya duduk di kerusi, warung-warung, kedai makan memang mudah berbanding mengangkat senjata di medan perang. Anggapan dan andaian yang menjatuhkan moral pasukan keselamatan negara sepatutnya tidak dibincangkan sekarang. Sokongan dan berdiri teguh atas nama Malaysia amat diperlukan saat ini.

Dakwaan sana sini tidak mencerminkan semangat patriotik apatah lagi menganggap ianya sandiwara sedangkan siapa yang sanggup berkorban sekiranya ianya hanya sandiwara?

PDRM dan ATM telah banyak berjasa kepada negara dan pengalaman peperangan lampau serta latihan berterusan sejak dahulu lagi tidak patut dipersoalkan. Perancangan serta taktikal perang dalam menentang jenayah hanya segelintir yang tahu. Usah berlebih pada asas yang bukan kepakaran diri sendiri.

Hikmah Lahad Datu boleh dijadikan iktibar. Baik kepada pasukan keselamatan, kerajaan mahupun rakyat jelata. Bersyukurlah keamanan yang dikecapi selama ini dan bersikap melenting tidak tentu pasal boleh memudaratkan keamanan dan keselamatan negara ini. 

Berdiri teguh di belakang pasukan keselamatan demi mempertahankan kedaulatan Malaysia daripada mempertikai kemampuan mereka. Doakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Malaysia lebih baik membuat tohmahan dusta.




No comments:

Post a Comment

Member BSK